Home Utama PAC tak buka semula siasatan 1MDB, laporan sudah lengkap

PAC tak buka semula siasatan 1MDB, laporan sudah lengkap

Hasan Arifin

KUALA LUMPUR – Siasatan semula melibatkan syarikat pelaburan negara,
1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu dibuka semula memandangkan
laporan sudah lengkap, kata Datuk Hasan Arifin.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata, laporan berhubung 1MDB sudah pun dibentangkan di Dewan Rakyat dan sebarang tindakan susulan hanya boleh diambil oleh kerajaan terhadap beberapa isu yang membelenggu 1MDB.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak akan membuka semula siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Hasan Arifin.

“1MDB sudah dibentangkan di Parlimen, terpulang kepada Kerajaan Persekutuan untuk ambil sebarang tindakan. PAC tidak akan buka lagi siasatan,” kata beliau dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Hasan ditanya wartawan berhubung tindakan saman sivil terbaharu oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB.

Hasan turut menjelaskan, siasatan dilakukan PAC sebelum ini terhadap 1MDB adalah berbeza dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan saman sivil difailkan DOJ.

“Ia (siasatan PAC terhadap 1MDB) tiada kaitan dengan DoJ. Siasatan adalah berasaskan protokol dari dua negara berkenaan dan seharusnya ia dipertimbangkan,” katanya.

Laporan PAC yang dibentang dalam Parlimen sebelum ini menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu 1MDB.

Ia kerana, PAC mendapati Najib tidak terlibat secara langsung dalam isu membabitkan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Laporan PAC setebal 106 muka surat itu sebaliknya mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan. – MalaysiaGazette