KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung sebanyak 25 peratus subsidi daripada harga dalam semua Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman memberitahu Dewan Rakyat hari ini, setiap pembeli rumah yang terdiri daripada penjawat awam menerima subsidi tersebut berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Nilai sebenar subsidi yang diberi adalah bergantung pada bilangan unit bagi sesuatu projek, jenis dan saiz/keluasan, harga sebenar setiap unit dan kumpulan sasar bagi unit yang ditawarkan.
“Memandangkan penawaran rumah PPA1M diberi keutamaan kepada golongan yang berpendapatan bulanan RM10,000 ke bawah dan khasnya RM3,000 ke bawah, ia sekaligus membantu kumpulan B40 dan M40 dari kalangan penjawat awam untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis).
Abdul Rahman di dalam soalannya meminta dinyatakan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan dalam PPA1M secara keseluruhan dan implikasinya terhadap golongan sasar B40 dan M40.
PPA1M adalah skim rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk penjawat awam yang tidak memiliki rumah.
Di bawah skim ini, harga rumah ditetapkan tidak melebihi RM300,000 seunit selepas ditolak subsidi. – MalaysiaGazette