PUTRAJAYA – Setakat ini, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) belum meminta bantuan daripada kerajaan untuk membantunya melunaskan pembayaran abritrasi kepada International Petroleum Investment Co. (IPIC) yang berjumlah AS$602.75 juta (RM2.58 bilion).
“Kita tidak akan bantu orang jika orang tidak meminta bantuan. Ini adalah masalah syarikat, setakat ini mereka tidak meminta bantuan Kementerian Kewangan, jadi kami tidak terlibat dalam semua ini
“Saya difahamkan perkara ini dikendalikan oleh Lembaga Pengarah 1MDB dan mereka sedang selesaikannya dengan IPIC,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ditanya sama ada Kementerian Kewangan akan membantu 1MDB jika syarikat milik kementerian itu datang meminta bantuan, Johari berkata: “Itu kena tunggulah. Jangan tanya sesuatu perkara yang belum berlaku”.
Malah, beliau turut menolak sebarang persoalan sekiranya kerajaan akan menggunakan dana awam bagi membuat bayaran kepada IPIC.
Tegas beliau, dalam menguruskan kerajaan kita tidak boleh mengandaikan tentang sesuatu perkara.
“Kita perlu bersikap adil kepada lembaga pengarah 1MDB. Ini masalah syarikat, biar mereka selesaikannya,” ujar beliau.
Johari berkata, komitmen kerajaan pada masa ini mahu memastikan negara dan ekonomi negara berada pada tahap terbaik.
“Kita mahu perlu memantau perkembangan ekonomi, membantu industri. Itu keutamaan saya sekarang,” tambahnya.
1MDB yang sepatutnya melunaskan bayaran itu kepada IPIC tengah hari semalam gagal berbuat demikian.
Syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan berkata, pihaknya telah meminta penangguhan bayaran sehingga bulan Ogos.
1MDB akan menggunakan hasil pelan rasionalisasi syarikat tersebut dan sedang menunggu dana yang akan diterima pada bulan Julai 2017.
Bagaimanapun, IPIC dalam kenyataan berasingan berkata, ia memberi masa selama lima hari kepada 1MDB untuk menyelesaikannya.
Sekiranya 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.) gagal melunaskan bayaran tersebut, mereka tertakluk kepada obligasi tambahan kepada IPIC dan Aabar. – MalaysiaGazette