Home Ekonomi 1MDB mampu bayar balik hutang IPIC – Najib

1MDB mampu bayar balik hutang IPIC – Najib

1MDB

KUALA LUMPUR – Dakwaan mengatakan
1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mampu membayar balik hutang kepada syarikat berpengkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) tidak benar, tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, kelewatan pembayaran hutang itu disebabkan oleh masalah teknikal dan perkara itu sudah pun diterangkan oleh pihak 1MDB dalam satu kenyataan semalam.

“Soal 1MDB kita telah keluarkan kenyataan..maka itu soal teknikal saja bukan sebab soal tak mampu bayar balik yang kita jangka tidak akan jejaskan soal keyakinan kepada ekonomi negara kita,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.

Wan Azizah di dalam soalan tambahannya bertanyakan soalan samada kegagalan 1MDB membayar hutang kepada IPIC bakal menggugat sentimen pelabur luar kepada Malaysia.

Laporan sebelum ini menyatakan pembayaran sebanyak US$602.7 juta (kira-kira RM2.6 bilion) daripada 1MDB kepada IPIC adalah sebahagian daripada penyelesaian hutang.

Pelabur negeri Abu Dhabi, Mubadala berkata, pihaknya belum menerima maklumat daripada bank berhubung kelewatan bayaran daripada 1MDB berikutan tarikh berakhir.

Bagaimanapun kenyataan 1MDB semalam memaklumkan kepada syarikat Abu Dhabi, mengenai pembayaran yang sepatutnya dibuat pada 31 Julai akan dibuat pada bulan ini kerana menunggu dana sewajarnya. – MalaysiaGazette