Home Nasional Awas surat palsu produk Natural Progesterones – KP Kesihatan

Awas surat palsu produk Natural Progesterones – KP Kesihatan

Surat yang didakwa palsu oleh KKM mengenai pengkelasan produk krim kesihatan menular dalam media sosial.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini meminta orang ramai berhati-hati dengan penularan surat palsu mengenai produk Natural Progesterones Cream dalam media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan dokumen bertarikh 10 Julai 2017 yang menggunakan kepala surat palsu bertulisan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

“Surat tersebut pada isi kandungannya menyatakan maklumat pengkelasan produk Natural Progesterones Cream dan KKM mengesahkan bahawa dokumen itu adalah palsu dan kami menafikan bahawa ia dikeluarkan BPFK KKM yang kini dikenali sebagai Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau NPRA).

“KKM telah memfailkan satu laporan polis berhubung penularan surat palsu itu untuk tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sesuatu produk kosmetik perlu mematuhi semua keperluan yang ditetapkan termasuk kandungan bahan dan had kandungan yang dibenarkan.

Malah jelasnya, untuk menentukan sama ada sesuatu produk perlu didaftarkan, dinotifikasi serta kategori produk tersebut, pihak syarikat boleh memilih untuk membuat permohonan pengkelasan produk dengan NPRA.

Kata beliau, aktiviti pengkelasan produk bukan merupakan proses wajib dalam pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik tetapi ia bertujuan untuk membantu syarikat.

Dr. Noor Hisham Abdullah

“Semakan pada pangkalan data pengkelasan produk NPRA mendapati bahawa tiada permohonan diterima oleh NPRA bagi pengkelasan produk Natural Progesterones Cream.

“Selain itu, Progesterone iaitu suatu racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 juga merupakan bahan yang tidak dibenarkan dalam formulasi sesuatu produk kosmetik.

“KKM memandang serius isu pemalsuan dokumen terutamanya yang melibatkan penggunaan nama agensi kerajaan dan melibatkan keselamatan pengguna dan memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk bahawa memiliki, menjual atau membekal produk tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” ujarnya.

Jelas beliau, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Manakala, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya menyemak status pendaftaran sesuatu produk farmaseutikal atau status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi NPRA di talian 03-78835400. – MalaysiaGazette