Home Politik Jamal pertahan TPM, kecam Tun M pembelot

Jamal pertahan TPM, kecam Tun M pembelot

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bersama ahli NGO selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini mempertahankan kenyataan Timbalan Perdana Menteri berkaitan isu keturunan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Pengerusi Gabungan NGO itu, kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus dilihat dalam konteks peringatan kepada ahli-ahli UMNO.

“Ia (kenyataan TPM) bukan kebudakan, ia ingatan kepada ahli UMNO..selepas jadi pemimpin jangan jadi macam Tun M,” ujarnya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Menurut Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, sebelum ini walaupun Tun M ada darah India namun UMNO sebagai parti majoriti orang Melayu mempertahankannya namun kini Tun M sendiri belot.

Itu maksud ‘hilang madu sepah dibuang’ seperti kenyataan Ahmad Zahid, kata Jamal.

Lagi pun, katanya, kenyataan Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO diucapkan dalam majlis parti iaitu mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya.

“Bagi saya TPM perlu cakap benda yang sama ketika merasmikan bahagian lain supaya ahli tahu asal usul dan perlu malu dan marah.

“Saya pun, emak saya Banjar campur Melayu. Apa salahnya? Apa nak dimalukan?” soalnya.

Jamal juga menyifatkan Tun M sebagai seorang yang celaka kerana membelot dalam UMNO.

Dalam pada itu, Jamal dan rakan-rakan ahli NGO lain membawa skrin besar dan menayangkan ceramah pemimpin pembangkang yang mengutuk Tun M dengan isu mamak sebelum ini termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.

Beliau juga membuat laporan polis berkenaan ceramah yang sama – MalaysiaGazette