Home Nasional Penggal persekolahan, jadual SPM sedia ada sudah relevan

Penggal persekolahan, jadual SPM sedia ada sudah relevan

Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Petani dari PKR, Datuk Johari Abdul mempersoalkan kenapa permulaan persekolahan mesti pada Januari dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada November dan Disember pada waktu musim tengkujuh.

Beliau juga bertanya, apakah kekangan dan masalahnya jika peperiksaan tidak diadakan pada November dan Disember tetapi elok serta lebih praktikal diadakan pada bulan kering seperti Mac dan April serta waktu persekolahan bermula boleh dijadualkan semula.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, penggal persekolahan disediakan dengan mengambilkira cuti umum sempena sambutan perayaan rakyat Malaysia yang pelbagai kumpulan etnik dan kepercayaan serta hari kebesaran negeri-negeri di negara ini.

Katanya, pelaksanaan penggal persekolahan sedia ada juga turut dijadikan asas kepada peruntukan waktu pelaksanaan kurikulum kebangsaan di semua sekolah.

“Selain itu, ia juga mempengaruhi tarikh dan tempoh bermula serta tamat peperiksaan awam terutama peperiksaan umum yang mempunyai kesan kepada peluang pendidikan lanjutan murid ke peringkat sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda,” katanya semasa sidang Parlimen semalam.

Jelas Sin Woon, cadangan perubahan untuk tidak memulakan persekolahan pada Januari akan mempunyai implikasi dari segi perundangan, tadbir urus, prosedur kewangan dan aktiviti utama pendidikan serta program selepas menengah.

Sin Woon turut merujuk Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Seksyen 29A, Pendidikan Rendah Wajib yang menyatakan, setiap ibu bapa warganegara yang tinggal di Malaysia hendaklah memastikan jika anak mereka telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari, dalam tahun persekolahan semasa, anak itu didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah dalam tahun itu dan terus menjadi murid di sekolah sepanjang tempoh pendidikan wajib.

Manakala Peraturan-peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 turut menyatakan, hari sekolah bagi mana-mana satu tahun hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.

Dengan mengambil kira peraturan itu menurut beliau, Kementerian Pendidikan merancang takwim persekolahan supaya penggal persekolahan berakhir sebelum musim tengkujuh bagi mengelakkan bilangan hari persekolahan terjejas akibat bencana banjir.

“Peperiksaan SPM dilaksanakan pada November dan Disember kerana berkait rapat dengan penggal persekolahan (pengajaran dan pembelajaran) yang telah dirancang oleh kementerian.

“Penggal persekolahan bermula Januari pula akan memberi masa mencukupi untuk pembelajaran murid, pengajaran guru dan sekolah menghabiskan sukatan pelajaran disediakan.

“Ini penting kerana pentaksiran dilakukan berdasarkan sukatan pelajaran disediakan termasuk pihak kementerian mengambil langkah sewajarnya bagi menangani bencana banjir yang dijangka berlaku pada Oktober hingga Disember setiap tahun,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kementeriannya juga mengambil beberapa langkah proaktif seperti menubuhkan jawatankuasa di peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah yang dikenali sebagai Jawatankuasa Keselamatan Pengurusan Peperiksaan Awam (JKPPA).

“Garis panduan untuk semua pihak menghadapi bencana banjir juga dikeluarkan oleh kementerian termasuk Lembaga Peperiksaan mempersiapkan prosedur meliputi langkah keselamatan berkaitan dengan nyawa dan bahan peperiksaan.

“Prosedur ini perlu diikut petugas peperiksaan, PPD, JPN dan orang awam melalui Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001 yang dikenali sebagai Operasi Payung,” ujar Sin Woon.

Kata beliau, kementeriannya juga mengenal pasti semua calon peperiksaan SPM yang berada di kawasan dijangka banjir setiap tahun.

“Calon SPM ini sentiasa diberi keutamaan oleh JKPPA peringkat negeri dan daerah. Ramalan banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia tujuh hari lebih awal membolehkan jawatankuasa ini bertindak segera untuk memastikan calon menduduki peperiksaan,” katanya. – MalaysiaGazette