Home Politik PMSP desak Kit Siang buktikan kelahirannya di Malaysia

PMSP desak Kit Siang buktikan kelahirannya di Malaysia

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Ramesh Rao menunjukkan kertas memorandum pada sidang media NGO NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) akan menyerahkan memorandum memohon Lim Kit Siang menjelaskan beliau "Tiba ke Malaysia atau dilahirkan di Malaysia?" di luar pintu masuk Parlimen. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendesak supaya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang agar berterus-terang mengenai asal-usulnya sama ada dilahirkan atau berhijrah ke Malaysia.

Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata, Kit Siang perlu mengemukakan bukti yang kukuh jika mengakui dirinya lahir di Malaysia seperti memberikan nama hospital dan di hospital mana menjadi tempat kelahirannya.

“Kami dari PMSP ingin memohon penjelasan dari Kit Siang sama ada dilahirkan di Malaysia atau tiba ke Malaysia,” kata Ramesh semasa satu sidang media di luar bangunan Parlimen.

Ramesh hari ini hadir ke Parlimen mahu menyerahkan memorandum berkenaan kepada Kit Siang berhubung mengenai status asal-usulnya kerana terdapat percanggahan dalam biodata Kit Siang dalam Wikipedia.

“Beberapa pencarian dalam web Google sebulan yang lepas mengatakan Kit Siang pada 1957 tiba ke Malaysia dari China.

“Jika dilahirkan di Malaysia pihak kami mohon beliau jelaskan di hospital mana dilahirkan dan siapa yang sahkan kelahiran beliau?” ujarnya.

Menurut Ramesh, pemimpin DAP itu sebelum ini mengatakan berasal dari Batu Pahat tetapi ia menjadi tanda tanya kerana ramai yang sangsi dan was-was dengan status asal-usul beliau.

“Kalau benar lahir di Batu Pahat, hospital mana beliau lahir? Rumah bidan mana? Sekolah mana?” katanya lagi.

Beliau memberikan tujuh hari kepada Kit Siang untuk membuat penjelasan berhubung status tersebut dan jika gagal mereka akan membuat laporan polis.

“Kami beri Kit Siang masa tujuh hari untuk menjawab perkara ini, jika gagal kami akan buat laporan polis,” katanya.

Selepas itu, Ramesh dan kumpulannya pergi ke pejabat Ibupejabat DAP di sini untuk menyerahkan memorandum yang sama selain menghantar mesej kepada Kit Siang menerusi telefon bimbit.

“Saya mahu dia bertanggungjawab dan jawab soalan kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette