Home Politik Fitnah Dr M cuba tanam syak wasangka ahli UMNO

Fitnah Dr M cuba tanam syak wasangka ahli UMNO

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Fitnah terbaharu Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sengaja cuba menanam syak wasangka dalam kalangan ahli UMNO bagi bertujuan memecah belah parti tersebut, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan UMNO itu mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terjerat dengan strategi terbaharu bekas perdana menteri yang dilihat mahu mewujudkan keretakan dalam parti pemerintah itu.

“Setiap ahli UMNO diingatkan supaya tidak terperangkap sama sekali dengan strategi musuh, khususnya Pakatan Harapan (PH), yang tidak sudah-sudah untuk mewujudkan keretakan dalam UMNO – satu usaha PH yang masih gagal hingga sekarang.

“Fitnah Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), yang terbaharu terhadap Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kononnya TPM memohon sokongannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak, adalah satu lagi percubaan Tun M utk menanamkan syak wasangka di kalangan sanubari setiap ahli UMNO,” kata Annuar dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, Annuar yakin ahli UMNO tidak akan terpengaruh dan terpesong dengan muslihat yang direncana oleh Dr Mahathir.

“Alhamdulillah, ahli UMNO tetap terus kental dengan istiqamah dan solidariti serta tidak mudah terpesong dgn tipu muslihat Dr Mahathir.

“Apatah lagi kini Dr Mahathir sendiri mengakui beliau sebenarnya tidak memusuhi DAP yang dulunya beliau serang habis-habisan sebagai rasis dan anti-Melayu,” ujarnya lagi.

Tegas Annuar, langkah sama pernah dilakukan oleh Dr Mahathir yang membuat tuduhan mengatakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hilang RM42 bilion walaupun ia tidak benar sekali.

“Ia sepertimana Tun M tanpa segan silu mendakwa RM42b wang 1MDB hilang atau lesap, yang bertujuan semata-mata mengapikan dan membangkitkan kemarahan ahli UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts