Home Nasional Jangan percaya ustaz skim cepat kaya

Jangan percaya ustaz skim cepat kaya

KUALA LUMPUR – Sekiranya ada syarikat atau individu yang modus operandinya menjamin keuntungan kepada setiap pelaburan ia sudah tentu skim cepat kaya.

Ia termasuk skim yang ejen-ejennya dalam kalangan mereka yang bertaraf ustaz-ustaz, kata pakar perunding kewangan, Shamsudin Kadir.

Satu lagi, katanya, sekiranya mereka mengambil deposit juga salah satu ciri skim cepat kaya.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) hanya memberi lesen enam pihak sahaja yang boleh mengambil deposit.

Keenam-enamnya ialah Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, anak syarikat kepada bank, takaful/insurans, unit trust (swasta dan kerajaan negeri) dan koperasi.

Selebihnya, ia sudah pasti mengambil deposit secara haram dan skim cepat kaya, katanya.

“Macam skim dana Mekah yang kecoh baru-baru ini, skim pajak dan ramai ejennya ustaz. Ada yang masuk sampai RM150,000 dan ramai ustaz juga kena tipu,” ujarnya dalam satu temubual dengan IKIMFM baru-baru ini.

Shamsudin menasihati orang ramai supaya jangan terpedaya dengan pelawaan menyertai mana-mana skim pelaburan walaupun ia datang dari seorang ustaz.

Selain itu, ada juga ustaz dan VIP yang menjadi mangsa keadaan dimana menerima undangan berceramah atau merasmikan majlis namun akhirnya dijadikan bahan pelaris skim cepat kaya tanpa mereka sedari.

“Kadangkala ada ustaz atau selebriti yang dijemput bayar RM3,000 untuk ceramah 45 minit tetapi rupa-rupanya digunakan sebagai bahan mempengaruhi orang ramai menyertai skim cepat kaya.

“Kadangkala mereka tulis skim mereka mendaftar dengan BNM dan bukan skim cepat kaya sedangkan orang ramai tidak merujuk pun dengan BNM,” tegasnya sambil menambah ada testimoni pengguna yang dibayar turut dibuat.

Justeru, Shamsudin menasihati orang ramai supaya berfikir sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan dan jangan membuat keputusan segera.

“Tidak ada cara mudah jadi kaya selain ilmu yang betul dan Islam pun suruh bekerja bukan goyang kaki untuk kaya,” katanya.

Sebagai salah satu cara untuk kaya, beliau mencadangkan orang ramai menyertai pelaburan hartanah.

“Hendak kaya cepat beli rumah kedai, rumah teres dan selepas lima tahun jual jadi modal permulaan beli hartanah lain, banyak orang Cina buat,” ujarnya.

Beliau juga mengakui menjadi konsultan unit trust, takaful dan insurans juga boleh menjadi kaya.- MalaysiaGazette