Home Nasional LPG bernilai RM500,000 dirampas KPDNKK

LPG bernilai RM500,000 dirampas KPDNKK

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat (kanan) menunjukkan tong gas LPG yang dirampas di Ulu Tiram dan Skudai semalam, pada sidang akhbar di Stor KPDNKK Johor di Senai, Kulai.

KULAI – Sebanyak 1,196 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa lesen yang dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas dalam serbuan di dua premis, masing-masing di Ulu Tiram dan Skudai semalam.

Serbuan tersebut dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor kira-kira pada 3.30 petang.

Ketua penguat kuasanya, Aris Mamat berkata, serbuan dijalankan hasil risikan selama sebulan pihaknya selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Dalam serbuan di Skudai, pihak kami merampas sebanyak 979 tong berisi LPG termasuk 383 tong kosong manakala di Ulu Tiram pula, kita merampas sebanyak 217 tong gas,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, premis di Skudai membekalkan tong gas LPG subsidi 14 kilogram kepada premis di Ulu Tiram yang kemudiannya akan memindahkan gas kepada tong industri 50 kilogram secara tidak sah.

Beliau berkata, tong gas industri tersebut kemudiannya dijual di sekitar negeri ini dengan harga antara RM190 hingga RM200.

Aris memberitahu, serbuan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan barang kawalan.

Tambahnya, dua pemilik premis yang berusia dalam lingkungan 50-an akan disiasat di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette.