Home Politik Kad pengenalan bukan dokumen rahsia rasmi – Pemuda UMNO

Kad pengenalan bukan dokumen rahsia rasmi – Pemuda UMNO

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,Datuk Ahmad Mukhriz Dato Ahmad Fuad bercakap pada sidang media menyokong kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Ampang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 04 OGOS 2017
AMPANG – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan kad pengenalan atau MyKad bukan satu dokumen rahsia rasmi yang tidak boleh didedahkan kepada umum malah ia bebas diperolehi oleh mana-mana pihak secara terbuka.
Exconya, Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad berkata, tindakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan keturunan sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kad pengenalan juga bukan satu kesalahan.
“Saya rasa apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid itu hanya bertujuan untuk menyatakan fakta dan maklumat kad pengenalan ini adalah terbuka, ianya bukan maklumat sulit
“Kad pengenalan ini kita guna untuk semua benda, bukan macam sesetengah dokumen itu sulit, tidak boleh dilayari oleh terbuka
“Ia adalah satu hak terbuka, tak semestinya beliau perlu mengorek, nak kena buka, tandatangan apa dokumen rahsia nak dapatkan kad pengenalan, saya rasa semua golongan masyarakat boleh mendapatkan maklumat tentang kad pengenalan tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat Gabungan NGO Selangor, di sini, hari ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan Pahang, Datuk Shahruddin Ahmad (duduk, dua kanan) bercakap pada sidang media menyokong kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Ampang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 04 OGOS 2017
Minggu lalu, Ahmad Zahid menyerang asal-usul Mahathir yang didakwa berketurunan India kerana mempergunakan orang Melayu dan UMNO untuk memperjuangkan agenda Melayu.
Rentetan itu, Mahathir pada Isnin lalu mencabar Ahmad Zahid menunjukkan bukti kad pengenalan yang tertera nama ialah Mahathir a/l Iskandar Kutty.
Mengulas lanjut, Ahmad Mukhriz berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bukan satu isu besar dan beliau mengesyaki ia telah dimanipulasi pihak tertentu menimbulkan ketegangan dalam kalangan pemimpin parti.
“Mungkin ada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab ingin menimbulkan ketegangan, apa yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid hanyalah fakta.
“Kalau tidak dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mungkin tak jadi isu dan Tun M juga tak mungkin buat cabaran tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette