Home Politik Pemuda UMNO cabar Tun M bertanding di Pekan

Pemuda UMNO cabar Tun M bertanding di Pekan

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan,Pahang Datuk Shahruddin Ahmad bercakap pada sidang media menyokong kenyataan Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi di Ampang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 04 OGOS 2017.
AMPANG – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar bertanding di Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Datuk Shahruddin Ahmad berkata, ini kerana tiada gunanya desakan Mahathir supaya kepimpinan parti menunjukkan bukti keturunan beliau.
“Kalau betul pengalaman beliau memerintah sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, kalau betul Tun M anak jantan, ayuh bertanding di Pekan, kepada pemuda Armada pula, mari datang Pekan, belajar dengan kami,” katanya pada sidang media di pejabat Gabungan NGO Selangor, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Mahathir pada Isnin lalu yang mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan nama sebenarnya ialah Mahathir a/l Iskandar Kutty.
Minggu lalu, Ahmad Zahid menyerang keturunan dan asal-usul Mahathir yang didakwa berketurunan India kerana mempergunakan orang Melayu dan UMNO untuk memperjuangkan agenda Melayu.
Dalam pada itu, Shahruddin yang mengetuai kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Pekan turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Naib Presiden UMNO itu selepas menyerang keturunan Mahathir.
“Zahid Hamidi juga seorang yang tidak melatah dan kami percaya yakin bahawa kesetiaan beliau kepada kepimpinan tidak akan berbelah bahagi.
“Secara jujurnya kita dapat lihat bahawa Datuk Seri Najib Razak sendiri sangat selesa bekerjasama dengan Zahid Hamidi malah kita lihat parti semakin kukuh,” katanya. – MalaysiaGazette.