KUALA LUMPUR – Dakwaan lebih 10,000 pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari seluruh negara akan keluar parti menyertai Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) dianggap mengarut.
Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kenyataan Presiden Pekira, Mohd. Ridzuan Abdullah berhubung perkara tersebut satu pembohongan dan tidak masuk akal.
Menurutnya, penyertaan keahlian PPBM bertambah setiap bulan dengan purata kemasukan sebanyak 10,000 setiap bulan.
Buktinya kata beliau, dalam satu program yang diadakan di Klang baru-baru ini, kemasukan ahli yang mendaftar untuk menyertai PPBM adalah seramqi 576 orang sehari.
“Macam mana mereka boleh dakwa pemuda kami akan keluar dengan jumlah yang ramai 10,000 orang. Ini memang tidak masuk akal.
“Saya sendiri tidak pernah dengar adanya nama parti seperti itu. Macam mana pula mereka boleh dakwa ahli Bersatu akan keluar ikut mereka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Pada Khamis lalu, Mohd. Ridzuan dalam satu sidang media mendedahkan lebih 10,000 pemuda PPBM akan keluar parti dan menyertai Pekira itu parti pimpinannya.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa Ketua Armada di beberapa negeri telah berjumpa dengannya bagi menyatakan hasrat tersebut.
Mohd Ridzuan berkata, mereka memilih untuk menyertai Pekira kerana matlamat parti ini yang lebih jelas berbanding parti PPBM yang disertai mereka.
Dalam pada itu Syed Saddiq menegaskan, penubuhan parti itu yang mahu membela nasib golongan usahawan sebagai satu usaha murni dan wajar dipuji.
Namun dakwanya, jika parti itu mahu bersekongkol dengan Barisan Nasional ia dianggap sebagai usaha yang sia-sia kerana di zaman pemerintahan parti itulah semua rakyat menderita. – MalaysiaGazette