Home Dunia AS, Korea Selatan setuju beri tekanan ke atas Korea Utara

AS, Korea Selatan setuju beri tekanan ke atas Korea Utara

Donald Trump dan Moon Jae-in

SEOUL – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan rakan sejawatannya Donald Trump, bersetuju untuk memohon tekanan maksimum dan sekatan ke atas Korea Utara.

Persetujuan itu dicapai dalam panggilan telefon hari ini.

Sementara itu, China berharap Korea Utara dan Korea Selatan dapat meneruskan rundingan dengan segera.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara bersetuju melaksanakan sekatan baru ke atas Korea Utara pada Sabtu lalu dengan tujuan untuk menekan Pyongyang agar menamatkan program nuklearnya.

Sekatan boleh mengurangkan pendapatan eksport tahunan sebanyak AS$3 bilion (2.30 bilion pound) Korea Utara sebanyak satu pertiga.

Resolusi yang digubal Amerika Syarikat itu juga mengharamkan eksport arang batu, besi, bijih besi, timah, bijih timah dan makanan laut Korea Utara.

Sekatan itu turut melarang negara-negara daripada menambah bilangan pekerja buruh dari Korea Utara yang sedang bekerja di luar negara, melarang usaha sama baharu dengan Korea Utara dan sebarang pelaburan baru dalam usaha sama semasa.

Moon dan Trump menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama mengekang Korea Utara, terutamanya menjelang latihan tentera bersama untuk akhir Ogos, menurut jurucakap pejabat Presiden Korea Selatan, Park Su-hyun dalam taklimat media.

Moon juga disebut sebagai berkata dialog dengan Korea Utara masih terbuka, sekiranya Pyongyang menghentikan program nuklearnya.

Dalam satu kenyataan yang berasingan, White House berkata, kedua-dua pemimpin itu mengesahkan bahawa Korea Utara menimbulkan ancaman langsung yang serius ke atas Amerika Syarikat, Korea Selatan, dan Jepun serta kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Para pemimpin menyatakan komitmen untuk melaksanakan sepenuhnya semua resolusi yang berkaitan dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk berbuat demikian,” kata White House.

Menerusi Twitter Trump berkata, beliau sangat gembira dan kagum dengan undi PBB atas sekatan tersebut. – MalaysiaGazette