Home Utama Rohani cadang sukarelawan bantu OKU guna MRT

Rohani cadang sukarelawan bantu OKU guna MRT

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim beramah mesra dengan Orang Kurang Upaya (OKU), Ras Adiba Radzi yang menggunakan tren MRT ketika membuat tinjauan kemudahan OKU di Stesen MRT Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR -Prasarana Malaysia Berhad diminta untuk menambahbaik mutu perkhidmatannya di stesen stesen MRT bagi memudahkan golongan kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Cadangan itu disuarakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini hasil daripada tinjauannya bersama sekumpulan OKU dan warga emas di stesen MRT Tun Razak Exchange.

“Kalau ada sukarelawan yang boleh membantu, dapat melicinkan lagi perjalanan MRT bagi golongan sasar kami (OKU dan warga emas).

“Kalau ada sukarelawan, lagi senang untuk kumpulan ini menikmati kelancaran perjalanan meskipun kaunter perkhidmatan disediakan,” katanya.

Hari ini Rohani bersama  lapan warga emas dan 12 OKU cacat penglihatan dan berkerusi roda mencuba perkhidmatan MRT daripada Stesen TRX ke Stesen Muzium Negara.

Sepanjang perjalanan itu, rata rata OKU ditemui berpuas hati dengan mutu perkhidmatan MRT yang mesra OKU.

Bagi Rosni Saini, 35 yang cacat penglihatan bersetuju dengan cadangan Rohani supaya sukarelawan ditempatkan di stesen stesen MRT.

Ia bagi memudahkan pengguna dari golongan OKU sepertinya, terutama bagi yang menaiki perkhidmatan tren ini pertama kali.

“Saya berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan sekarang, tapi kalau ada sukarelawan, itu satu penambahbaikan yang kita alu-alukan.”- MalaysiaGazette.