SERDANG – Buat julung kalinya, Saluran History Asia mengangkat individu-individu dari pelbagai bidang di negara ini bagi menerima Anugerah Pencipta Sejarah.
Kesemua mereka dipilih menerima anugerah itu atas pelbagai sumbangan dan pencapaian besar serta sumbangan kepada masyarakat.
Antaranya pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim; Datin Paduka Marina Mahathir; ikon kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat serta saintis muda, Faye Jong Sow Fei.
“Akhir-akhir saya risau sejarah akan diketepikan sebab orang tidak faham akan sejarah. Di sekolah masyarakat anggap geografi dan sejarah itu dianggap tidak penting.
“Sejarah bukanlah cerita tapi berasaskan hakikat dan sejarah sangat penting kalau kita ingin memahami zaman sediada. Tanpa sejarah kita tidak tahu bagaimana keadaan sekarang boleh wujud,” katanya selepas menerima Anugerah Pencipta Sejarah daripada Saluran History di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.
Kesemua mereka rata-ratanya dipilih kerana berkongsi kisah kehidupan yang menjadi inspirasi kepada masyarakat dari semua lapisan masyarakat.
Anugerah Pencipta Sejarah 2017 disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Negoh Gumbek.
Bagi siswazah Universiti Sunway dalam bidang Sains, Faye Jong Sow Fei, minat beliau dalam memastikan alam sekitar dijaga dan menggunakan produk organik mengangkat beliau selaku salah seorang penerima anugerah ini.
Ujarnya, tahap penggunaan pewarna dalam pelbagai proses yang tidak selamat membuatkan beliau begitu berazam untuk merubah langkah itu kepada sesuatu yang lebih organik.
“Banyak orang melihat pewarna organik adalah sesuatu yang susah. Jadi saya cuba untuk ubah persepsi masyarakat terhadap pewarna dengan menggunakan sepenuhnya pewarna organik.
“Saya masih meneruskan eksperimen untuk membolehkan masyarakat lebih peka terhadap penggunaan pewarna dan berubah kepada pewarna organik di masa akan datang,” katanya yang menjadi penerima termuda dalam Anugerah Pencipta Sejarah 2017.
Penerima lain adalah bekas atlet beregu badminton negara dan penerima pingat emas, Cheah Soon Kit; Juara Rali negara, Karamjit Singh; Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Only World Group, Datuk Seri Richard Koh; Pengasas Fave Group, Faye Jong dan Pengasas Pit Stop Community Cafe, Joyceyln Lee dan Andrea Tan.
Malah dua lagi individu ternama turut diberikan anugerah sama antaranya perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan perenang negara, Pandelela Renong.
Anugerah Pencipta Sejarah adalah menjadi sebahagian daripada upacara penutupan Konvensyen History Con 2017, yang diadakan buat kali pertama di MAEPS bermula 4 Ogos lalu. -MalaysiaGazette.