PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Setiausahanya hari ini diperintahkan membayar ganti rugi berikutan keputusan salah mereka dalam menggantung dua penerbitan The Edge selama dua bulan berhubung satu siri laporan mengenai 1MDB.
Media tempatan melaporkan, keputusan itu dibuat panel lima anggota yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang menolak rayuan kementerian dalam negeri kerana tiada merit.
Sehubungan itu, mahkamah berkenaan memerintahkan supaya taksiran ganti rugi yang layak diterima The Edge Communications dibuat di Mahkamah Tinggi. Pengurusan kes tersebut ditetapkan esok.
KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015 berkaitan laporannya mengenai isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Sept 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi juga memerintahkan untuk penilaian ganti rugi yang dialami The Edge.
Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN berhubung keputusan Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.
Mahkamah Rayuan tidak mendengar hujahan mengenai kesahihan perintah penggantungan KDN kerana perkara itu menjadi akademik selepas tempoh penggantungan telah luput.
Antara lain persoalan yang dibangkitkan sama ada suatu perintah untuk penilaian ganti rugi kerana melanggar hak perlembagaan boleh dibuat, selepas mendapat perintah certiorari. – MalaysiaGazette