Home Nasional SSM serbu syarikat tawar pelaburan pokok kurma tak berdaftar

SSM serbu syarikat tawar pelaburan pokok kurma tak berdaftar

Dua anggota Bahagian Siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dilihat menggeledah salah satu bilik di pejabat syarikat Date Palm Agro Berhad yang disyaki terlibat dalam skim pelaburan haram ketika serbuan di Northpoint, Midvalley, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyerbu sebuah syarikat yang menawarkan skim pelaburan tidak berdaftar kepada orang ramai dengan menjanjikan pulangan lumayan hasil daripada penanaman pokok kurma.

SSM menyerbu pejabat Date Palm Agro Berhad & Safawi Agro Farm di North Point Office Midvalley terletak di Midvalley bagi mendapatkan bukti dan dokumen berkaitan tawaran pelaburan yang dibuat dalam internet selepas menerima aduan.

Syarikat ini menawarkan pulangan pelaburan skim penanaman pokok kurma di Kelantan, Terengganu dan Johor dengan setiap pelabur akan memperolehi keuntungan mengikut bilangan pokok kurma yang hendak dilabur iaitu satu pokok kurma bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000.

Syarikat tersebut juga akan menguruskan penanaman dan penjagaan pokok sehingga mendapat hasil.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kawal Selia dan Penguatkuasaan SSM, Nor Azimah Abdul Aziz, syarikat tersebut tidak mendaftar dengan SSM semasa membuat tawaran skim kepentingan itu dan tidak menolak mereka melanggar peraturan di bawah Akta Syarikat 1965.

“Mereka buat tawaran dalam internet tanpa mendaftarkan skim yang mereka tawarkan.

“Skim yang ditawarkan daripada aduan individu tersebut ada buat tawaran tapi tidak didaftarkan dengan kita (SSM).

“Dia kata dia tanam dan dia tawarkan orang membayar dia dan dia menawarkan pula pulangan daripada pokok yang dia tanam,” kata beliau dalam satu sidang media di ibu pejabat SSM hari ini.

Jelasnya, mana-mana syarikat yang mahu membuat tawaran skim berkepentingan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjaga hak-hak pemegang skim tersebut.

“Sepatutnya apa sahaja yang mereka tawarkan, mereka patutnya daftarkan… kalau ia skim berkepentingan ia mesti didaftarkan dan mematuhi keperluan pendaftaran bagi skim kepentingan yang sah disisi undang-undang kerana ia diperkenalkan bagi menjaga hak-hak pemegang skim,” ujarnya.

Akta Skim Kepentingan 2016 merupakan undang-undang baharu di bawah kawal selia SSM.

“Jadi bila dia tak daftar kemungkinan besar dia melanggar undang-undang yang kita tadbirkan,” katanya.

Hasil semakan SSM juga mendapati skim pelaburan pokok kurma itu tidak berdaftar dengan SSM, mana-mana badan atau agensi penguatkuasaan di Malaysia.

Dalam pada itu, Nor Azimah juga menasihatkan orang awam supaya menyemak terlebih dahulu sesuatu pelaburan yang ditawarkan dengan pihak berkuasa berkaitan serta tidak bertindak terburu-buru melabur dalam skim yang menawarkan pulangan yang tinggi serta tidak munasabah dalam jangka masa pendek.

Dalam serbuan selama dua jam itu, seramai 10 orang pegawai SSM terlibat dan mereka merampas dokumen daripada syarikat tersebut. – MalaysiaGazette