KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sederhana sebanyak 4.0 peratus pada bulan Jun 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan positif dalam semua sektor pembuatan (4.7%), perlombongan (2.4%) dan elektrik (2.1%).
Jabatan Statistik berkata, perbandingan tahun ke tahun, output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.7 peratus pada bulan Jun 2017 selepas mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 7.3 peratus pada bulan Mei 2017.
Sub-sektor utama yang merekodkan pertumbuhan pada bulan Jun 2017 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (8.3%); makanan, minuman dan tembakau (6.7%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.8%).
Output sektor perlombongan meningkat sebanyak 2.4 peratus pada bulan Jun 2017 berikutan peningkatan 0.7 peratus dalam indeks minyak mentah dan 4.4 peratus dalam indeks gas asli.
Output sektor elektrik meningkat sebanyak 2.1 peratus pada bulan Jun 2017 selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus pada bulan Mei 2017. – MalaysiaGazette