Home Utama Malaysia intai juara, sasar 111 emas KL2017 – PM

Malaysia intai juara, sasar 111 emas KL2017 – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. foto HAZROL ZAINAL, 10 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Malaysia sasar untuk muncul sebagai juara keseluruhan dalam temasya Sukan SEA ke-29 (KL2017) yang bermula pada 19 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan khas kepada atlet di Putrajaya International Convention Centrei berkata, tidak ada sebab untuk negara tidak mencapai kejayaan tersebut berikutan persediaan yang telah dibuat oleh semua pihak termasuk penyediaan fasiliti bertaraf antarabangsa.

“Ingat, anda akan bersaing di bumi sendiri, akan berhempas pulas bersama rakyat Malaysia, bukan ditempat lain di sisi rakyat Malaysia yang pasti sokong dengan penuh sokongan dan tentu tak kira keturunan dan budaya.

“Gema rakyat setiap venue di Malaysia lebih baik. Apa difikirkan lagi, yang mampu dilakukan saudara-saudari sekalian. Kami hanya mampu berdoa, bertepuk sekuat mungkin sehingga lebam,” ujarnya.

Justeru, bagi merealisasikan sasaran tersebut, Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan sekurang-kurangnya 111 kutipan pingat emas bagi melayakkan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan KL2017.

Sementara itu, sebanyak 103 sasaran pingat emas ditetapkan untuk sukan Para Asean bagi melayakkan negara muncul sebagai juara keseluruhan untuk sukan paralimpik.

Bagaimanapun, menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan menyatakan secara terperinci berkenaan acara atau atlet yang disasarkan untuk mendapatkan pingat emas dalam temasya itu.

Ia bagi mengelak sebarang tekanan atau sabotaj sepanjang Sukan SEA 2017 berlangsung.

“Sasaran kita buat ini setelah melihat senario dan beberapa sukan yang optimis dan konservatif dengan angka ini. Namun ada juga yang berasakan Malaysia boleh dapat lebih 111 emas atau kurang sikit daripada sasaran itu,” katanya dalam sidang media hari ini. -MalaysiaGazette