KUALA LUMPUR – Semalam, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali mendakwa majlis pecah tanah ECRL yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memegang prinsip kenegaraan, tidak patriotisme dan bersifat Pro-China.
Bagaimanapun, ia disangkal oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Sahar Abdullah yang hadir pada majlis yang sama.
Menurutnya, bahasa Melayu digunakan dalam ucapan Perdana Menteri dan Pengerusi MRL tetapi memandangkan budaya kita sebagai orang Islam menghormati tetamu, itu sebabnya kita ada menggunakan khidmat penterjemah bahasa.
“Persembahan pentas menunjukan identiti budaya Malaysia, di mana penyambut tetamu juga berpakaian kebaya malah majoriti yang hadir dalam majlis bersejarah itu adalah rakyat Malaysia.
“Bacaan doa juga sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita dan Jalur Gemilang dipasang megah di atas pentas utama,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurutnya, identiti Malaysia tidak akan hilang dengan adanya ECRL melainkan orang kita sendiri yang tidak menanam sifat cintakan negara dan hanya tahu menjadi pengkritik di belakang papan kekunci menyebarkan berita yang salah.
Semalam, Syed Hassan mendakwa majlis berkenaan seolah-olah diadakan di negara China dengan bendera dan tulisan pada pemidang.
Pelancaran ECRL yang diusahakan syarikat negara berkenaan seolah-olah ‘menjajah’ dan memonopoli majlis yang diadakan di Kuantan itu.
Bagaimanapun, menurut sumber, gambar menunjukkan bendera dan pemidang bertulisan Cina itu adalah satu majlis berasingan melibatkan pemaju ECRL disebelah pagi sebelum majlis pecah tanah melibatkan Perdana Menteri pada sebelah petang. – MalaysiaGazette