Home Politik BPMS bukannya laksana ketam mengajar anaknya berjalan betul – Hadi

BPMS bukannya laksana ketam mengajar anaknya berjalan betul – Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pendirian Pas yang kini mendokong Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) menghindarkan parti itu daripada bertindak melulu dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pendekatan BPMS yang dianjurkan Pas kini dilihat langkah parti itu menjadi penyelamat kepada rakyat Malaysia.

“Peranan Pas adalah menjadi penyelamat bersama Islam supaya yang salah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat, bukan sekadar mahu merampas jawatan semata-mata atau sekadar membalas dendam terhadap yang menjatuhkan dan mengambil semula jawatan dengan penuh geram kerana pernah dijatuhkan, dikalahkan dan dipecat.

“Kita wajib beriman kepada Qadar dan takdir Allah terhadap alam yang boleh berubah termasuk manusia, maka sikap yang anjal (fleksibel) dalam berpolitik dan berdakwah dalam perkara yang tidak ada nas yang tetap, sangat penting untuk kita berijtihad bagi melaksanakan konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bersama Islam,” ujar Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

BPMS adalah konsep politik bersifat wasatiyyah yang tidak cenderung kepada mana-mana pihak.

Ia tidak bersifat ekstrem tetapi tidak terlalu lembut dan menentang sebarang bentuk politik ganas yang membawa huru-hara, dalam masa yang sama tidak sekali-kali membela kezaliman dan orang zalim.

“Kita tegas dengan keyakinan bahawa hanya pemimpin yang beriman, benar aqidah, budiman dan luhur akhlaknya dapat menyelamatkan rakyat dengan contoh dirinya, sehingga berjaya mendidik rakyat menjadi beriman dan budiman. Bukannya laksana ketam mengajar anaknya berjalan betul.

“Dalam menghayati konsep demokrasi untuk mendapat dokongan rakyat, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) secara Islam wajib berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W supaya mencapai fadhilat menyelamatkan rakyat bersama Islam dengan petunjuk Allah yang sempurna dan berwawasan di dunia sehingga akhirat,” katanya lagi.

Pas tidak lagi bersama pembangkang dan membentuk Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) tahun lalu.

Ia sebagai blok ketiga yang membawa pendirian tersendiri terhadap pelaksanaan dasar-dasar kerajaan juga mengkritik aktiviti Pakatan Harapan (PH) yang membawa kepada perpecahan masyarakat.

Tahun lalu, Hadi berkata, PH mengamalkan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta-tuli dalam kalangan rakyat. -MalaysiaGazette