Home Nasional SPRM terbitkan teater Bahara Emas

SPRM terbitkan teater Bahara Emas

DZULKIFLI Ahmad (tengah) bersama penggerak teater Bahara Emas ketika pertemuan membincangkan pementasan itu di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) di bawah kepimpinan baharu terus mengorak langkah bagi mendekati masyarakat supaya lebih mengenali peranan agensi tersebut.

Terbaharu, SPRM akan meberbitkan sebuah teater berjudul Bahara Emas karya dan arahan aktivis teater terkenal, Rosminah Mohd. Tahir.

Pementasan yang berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur adalah salah satu pengisian bagi sambutan Jubli Emas 50 Tahun SPRM sepanjang Oktober hingga Disember ini.

Teater berdurasi 90 minit itu diterbitkan bersama CTRA Production dengan kerjasama DBP, Akademi Seni dan Budaya Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Istana Budaya.

Bahara Emas diambil daripada pengkisahan Sejarah Melayu dan Tun Seri Lanang tentang kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka antaranya kerana rasuah dalam kalangan rakyat dan pemimpin.

Akibat rasuah dan salah guna kuasa serta sifat tamak menyebabkan sebuah empayar yang hebat dijatuhkan oleh kuasa asing.

Barisan pelakon dan penyanyi terkenal serta aktivis teater  seramai 50 orang akan terlibat dalam pementasan teater yang turut memuatkan lebih 10 lagu ciptaan komposer terkanal Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

Butiran lanjut mengenai pementasan ini akan diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahamd dalam sidang media pada 23 Ogos ini jam 11 pagi di Istana Budaya, di sini.

Untuk keterangan lanjut mengenai program ini boleh menghubungi 017-2004249 atau email ke [email protected]. – MalaysiaGazette