Home Politik Ahli PPBM cuma 29,741?

Ahli PPBM cuma 29,741?

KUALA LUMPUR – Dipercayai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berdaftar sehingga kini cuma berjumlah 29,741 orang.

Perkara itu diketahui setelah tersebarnya perbualan aplikasi WhatsApp pemimpin tertinggi PPBM bergelar Datuk kepada ahli parti berkenaan.

Dalam perbualan itu, ahli parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu bertanya kepada Datuk berkenaan mengenai jumlah sebenar ahli parti itu sehingga hari ini.

Jelasnya, keseluruhan ahli PPBM setakat ini adalah berjumlah dalam lingkungan 29,000 sahaja.

“Sekarang sudah berapa ramai ahli semua sampai ke hari ini?,” soal ahli PPBM.

Jawab Datuk berkenaan; “Terkini daripada Pusat, 29,741 selepas saringan ahli yang baru dibatalkan keahlian”.

“Ramai ke yang dah batal keahlian?, soal beliau lagi.

“Itu saya tidak pasti, kalau boleh kita kerja keras sikit. PRU mungkin tahun ni saja,” tegas pemimpin PPBM itu menjelaskan keadaan.

PPBM mula ditubuhkan pada 7 September tahun lalu selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pergantungan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada UMNO pada 24 Jun 2016.

Tidak sampai setahun, parti itu dibadai kemelut apabila lebih 1,000 anggotanya di Perak bertindak keluar parti.

Ia diketuai Ketua Penaja Bahagian PPBM Ipoh Timur Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Penaja Bahagian PPBM Teluk Intan Jemaat Yaacob.

Tindakan itu susulan kegagalan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat pusat dan negeri walaupun tempoh seminggu diberikan kepada beliau. -MalaysiaGazette.