PULAU PINANG – Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh direman lima hari di Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan berhubung serbuan Suruhanjanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti, di sini kelmarin.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Ameera Mastura Khamis kira-kira pukulĀ 12.25 tengah hari ini.
Terdahulu, Boon Poh, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu tiba di mahkamah menaiki pacuan empat roda Toyota Prado kira-kira pukul 10.10 pagi.
Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang berkenaan tiba dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga serta dalam keadaan tangan bergari.
Dalam pada itu, turut ditahan reman lima hari ialah dua beranak lelaki yang merupakan pemilik kilang haram berkenaan masing-masing berusia 70 dan 37 tahun.
Terdahulu, peguam Boon Poh, Ramkarpal Singh memohon perintah reman berkenaan ditangguhkan dan meminta supaya dikeluarkan Majistret petang ini namun mahkamah memutuskan perintah itu dikekalkan.
Semalam, ketiga-tiga mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap operasi kilang haram yang mencemarkan alam sekitar tersebut.
Penahanan itu susulan operasi SPRM bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen; Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menyerbu kilang tersebut kelmarin.
Berikutan itu juga, SPRM turut menyerbu pejabat Boon Poh di tingkat 53, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) serta rumahnya di Sungai Puyu, Butterworth semalam untuk mencari dokumen-dokumen berkaitan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette