Home Nasional Hotel lebih 5 bilik wajib daftar kastam sebelum 31 Ogos

Hotel lebih 5 bilik wajib daftar kastam sebelum 31 Ogos

Kastam
Subromaniam Tholasy
Pada 26 Julai lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata rakyat Malaysia akan dikecualikan daripada membayar cukai bagi semua kategori hotel manakala cukai terhadap pelancong asing akan dikenakan pada kadar RM10 semalam bagi satu bilik mulai 1 Sept ini.

Ditanya mengenai pendaftaran motel dan inap desa, Subromaniam berkata pada dasarnya pihak inap desa bersetuju untuk berdaftar tetapi mempunyai beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan pihak kastam akan mengadakan perbincangan dengan wakil inap desa pada 28 Ogos ini.

“Bagi motel pula, mereka tidak dapat memberi data penuh. Tetapi mengikut undang-undang, sesiapa yang ada lima bilik dan ke atas tanpa mengira penarafan bintang perlu berdaftar,” katanya.

Subromaniam bagaimanapun berkata buat masa ini pihaknya tidak akan bersikap agresif terhadap pengusaha yang gagal berdaftar selepas tarikh akhir sebaliknya mahu mereka bekerjasama dengan JKDM.

Mengulas penahanan enam pegawai kastam baru-baru ini yang dipercayai membantu kumpulan kongsi gelap menyeludup dadah ke negara ini, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman selain menunggu siasatan polis selesai.

Pada masa sama beliau menegaskan Malaysia bukan negara transit untuk kegiatan penyeludupan sekalipun JKDM mencatatkan banyak kes rampasan, khususnya kebelakangan ini.

Sebaliknya kata beliau kejayaan itu hasil kerjasama erat JKDM dengan agensi perisikan dalaman dan luar negara selain maklumat awam dan perisikan dalaman.

“Saya ingin tegaskan oleh kerana, kita melakukan rampasan banyak di Malaysia, tidak semestinya Malaysia adalah negara transit. Ada negara dekat dengan kita tahu perkara ini, tetapi dia tidak melaporkan atau mengambil tindakan. Jadi, kita tahu perkara itu dan ambil tindakan,” katanya.

Mengenai Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia, Subromaniam berkata program tahunan itu dianjurkan Persatuan Pegawai Kanan Kastam dan akan diadakan pada 20 Jan tahun depan bagi mengutip sumbangan yang disasarkan kira-kira RM100,000 untuk disalurkan kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Acara kayuhan sejauh lapan kilometer itu akan berlangsung serentak di 14 lokasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette