Home Nasional Pas amal politik matang dalam isu 1MDB – PM

Pas amal politik matang dalam isu 1MDB – PM

1MDB

MACHANG – Belum tiba masanya lagi untuk memikirkan mengenai kerjasama politik antara UMNO dan Pas, namun pada masa yang sama politik matang yang ditunjukkan Pas terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihargai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Pas tetap menjadi parti pembangkang konstruktif yang bersaing dengan UMNO dalam hal-hal tertentu namun dapat menjalinkan kerjasama apabila ia melibatkan kepentingan Islam dan rakyat.

Katanya, Pas tidak menyerang sesuka hati dan mengamalkan konsep tabbayyun atau menyiasat kesahihan sesuatu isu sebelum membuat kesimpulan, menurut Astro Awani.

Sebagai contoh isu 1MDB, Pas memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk memberikan penjelasan sebelum membuat kesimpulan.

“Kita bersaing dengan Pas tetapi pimpinan Pas hari ini tidak macam dahulu. Pimpinan Pas hari ini lebih matang berpolitik, tolak kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

“Mereka percaya kepada ta’awun iaitu kerjasama untuk kebaikan. Dan kita bekerjasama dalam banyak perkara, seperti dalam isu Rohingya dan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355).

“Dalam 1MDB, mereka (Pas) mengamalkan tabbayyun, mereka siasat dahulu, panggil Presiden 1MDB, Arul Kanda dengar penjelasan dan Presiden Pas kata mereka percaya pelan pemulihan 1MDB akan berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat & Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di sini pagi ini.

Mengenai kerjasama politik antara Pas dan UMNO, PM Najib menjelaskan perkara itu belum ada kepastian. – MalaysiaGazette