Home Nasional Pertahan komunikasi silang budaya elak pemetakan masyarakat

Pertahan komunikasi silang budaya elak pemetakan masyarakat

TAPAH, 13 Ogos -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah 2017 di Dewan Merdeka Tapah hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

TAPAH – Komunikasi silang budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu terus dipertahankan bagi mengelak berlakunya pemetakan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sentimen pemetakan masyarakat yang wujud semasa dasar pecah dan perintah seharusnya telah terpadam selepas negara mencapai usia 60 tahun merdeka.

“Rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk, di mana kita merasakan kemajmukan ini harus dipertahankan dengan penuh keharmonian, pertahankan komunikasi silang budaya.

“Ini supaya kita (Melayu) dapat memahami perasaan masyarakat Cina, India, Orang Asli dan mereka juga dapat memahami perasaan kita,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tapah di sini, hari ini

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan walaupun UMNO merupakan parti keramat orang Melayu, namun ia merupakan pemangkin utama dalam menyemai komunikasi silang budaya dalam kalangan masyarakat majmuk.

Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO mengambil contoh UMNO Bahagian Tapah sebagai antara yang berjaya mempraktikkan komunikasi silang budaya dengan jayanya.

Katanya ia terbukti apabila anggota Parlimennya daripada MIC iaitu Datuk M.Saravanan, manakala dua lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing daripada MCA iaitu Datuk Dr Mah Hang Soon (Chenderiang) dan Datuk Samsudin Abu Hasan dari UMNO selaku ADUN Ayer Kuning.

“Tiada akan masalah di Tapah kerana silang budaya berlaku dengan cukup baik di sini, tidak berlaku pemetakan,” katanya.

Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata mana-mana anggota Parlimen yang bukan Ketua Bahagian perlu berkongsi peruntukan yang diterima dengan semua ADUN dan tidak menggunakannya untuk kepentingan peribadi.- BERNAMA