KUALA LUMPUR –Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohamad Taufik Abas menolak dakwaan sesetengah pihak termasuk daripada kalangan partinya bahawa kekecohan yang berlaku semalam diakibatkan oleh orang luar.
Menurutnya, kekecohan yang berlaku ketika forum itu berpunca akibat rasa tidak puas hati dalam kalangan pengikut PPBM sendiri berkenaan soalan yang dilontarnya.
“Saya cuma mengambil peluang bertanya ketika forum tersebut kerana ingin mendapatkan penjelasan dari Tun sendiri, itu pun moderator asyik potong soalan saya seolah-olah mahu mengelakkan sesuatu.
“Kejadian baling kerusi bukanlah ditujukan kepada Tun sebaliknya kerusi tersebut memang disasarkan kepada saya supaya saya tidak terus menyoal Tun.
“Jadi, kalau nak reka cerita pun biarlah logik jangan nampak sangat mainan kotor macam ni, seandainya si pembaling memang nak tujukan kerusi itu kepada Tun, ianya bukanlah perkara yang sukar kerana Tun berdiri di atas pentas secara terbuka,” katanya memetik laporan Massa.Tv
Forum anjuran Armada PPBM itu bertukar menjadi ganas apabila Taufik mengajukan soalan berkenaan peristiwa berdarah di Memali ketika Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Sebelum itu, beberapa orang peserta juga kedengaran meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila Tun Mahathir dilihat enggan memberikan jawapan ketika seorang peserta mengajukan soalan tentang status pemenjaraan Anwar Ibrahim sama ada benar-benar sebagai pesalah liwat atau mangsa kerakusan Mahathir. – MalaysiaGazette
dah sabotaj lah tu.