KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien menyampaikan amanat kepada para atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan beraksi pada Sukan SEA nanti supaya melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama negara.
Hishamuddin berkata, semua 72 atlit ATM yang akan berentap merupakan suatu kebanggaan kepada warga MINDEF dan yakin mereka dapat melakukan yang terbaik untuk negara meraih pingat pada temasya itu nanti.
“Mereka ini bukan sahaja mewakili negara tetapi 72 mereka ini juga mewakili warga MINDEF dan ATM, mereka ini cukup istimewa.
“Pesanan saya kepada mereka adalah supaya melakukan yang terbaik. Saya yakin kepada kemampuan mereka, soal menang atau kalah itu cerita lain. Mereka sanggup lakukan apa yang terbaik ke atas kepercayaan yang diletak atas bahu merka,” katanya semasa mengadakan pertemuan dengan atlet ATM di Bukit Jalil hari ini.
Beliau juga berharap kumpulan atlet tersebut dapat membantu sasaran yang diletak oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk meraih 111 pingat emas.
“Saya berharap mereka ini dapat membantu sasaran yang diletak oleh YB Khairy (Khairy Jamaluddin),” ujarnya lagi.
Semua 72 atlet ini akan menyertai 14 sukan termasuk berbasikal, hoki dewan, kriket, menembak, muay thai, olahraga, petanque, ping pong, sepak takraw, tinju, bola sepak, hoki padang, memanah dan pencak silat.
Sebahagian mereka ketika ini sedang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara dan membuat persiapan akhir sebelum turun beraksi dalam acara masing-masing.
Selain itu, seramai 184 anggota ATM turut terpilih menjadi Pegawai Teknikal Kejohanan yang diberi tanggungjawab dalam aspek pengadilan dan pengurusan acara sukan pada temasya kali ini.
“Secara peribadi, sebagai Menteri Pertahanan, saya amat berbangga dengan penglibatan anggota ATM sebagai atlet dalam temasya sukan terbesar dan paling berprestij di rantau ini.
“Ia membuktikan bahawa anggota ATM bukan hanya mempunyai kemahiran ketenteraan tetapi juga kemahiran lain seperti sukan sehingga melayakkan mereka mewakili negara.
Temasya Sukan SEA akan bermula secara rasminya pada 19 Ogos ini. – MalaysiaGazette