BATU PAHAT – Dua anggota polis yang dalam perjalanan membawa orang kena tuduh (OKT) dari IPD Kluang ke Mahkamah Tinggi Muar patah kaki dan peha akibat kemalangan di Kilometer 123.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berdekatan Yong Peng, di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8.40 pagi itu, lima anggota polis lain dan empat OKT cedera ringan selepas dua kenderaan polis masing-masing sebuah kereta MPV dan van PDRM terlibat dalam kemalangan tersebut.
Insiden berlaku apabila dua kenderaan polis itu cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terlebih dahulu hilang kawalan ketika hujan lebat di lokasi kejadian sebelum terbabas.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dua kenderaan polis itu dalam perjalanan dari IPD Kluang membawa empat OKT untuk ke Mahkamah Tinggi Muar bagi menghadiri kes yang sedang dibicarakan.
“Semua anggota dan OKT mengalami kecederaan ringan selain ada yang dipercayai peha dan kaki patah dalam kemalangan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, semua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette