Home Politik PEKIRA pertikai ROS lambat lulus permohonan

PEKIRA pertikai ROS lambat lulus permohonan

Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dipersoalkan kerana didakwa melengah-lengahkan proses kelulusan permohonan Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA).

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah sering ditanya oleh ahli parti pimpinannya berhubung kelulusan ROS terhadap parti yang membela nasib golongan usahawan itu sejak kebelakangan ini.

Katanya, ramai dalam kalangan ahli PEKIRA mempersoalkan agensi kerajaan berkenaan kerana mudah meluluskan parti-parti politik baharu pembangkang dalam tempoh singkat berbanding parti menyokong kerajaan.

“PEKIRA ini kita wujudkan untuk memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada dan bukannya menyebelah kepada pembangkang.

“Ramai ahli yang tanya kenapa ROS lambat sangat nak luluskan permohonan Pekira ini.

“Saya dah tak tahu nak kata apa lagi cuma bagi meredakan mereka saya jelaskan bahawa proses permohonan sudah berada diperingkat akhirnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas langjut, Mohd. Ridzuan telah berjumpa dengan seorang pegawai di bahagian pengurusan pertubuhan berkenaan hari ini dan pegawai itu memberi maklum balas positif.

Katanya, pegawai itu turut berjanji akan memberi perhatian terhadap proses permohonan parti itu dan akan cuba mempercepatkan kelulusannya.

“Kita tunggu dan lihat jawapannya. Jika tidak ahli-ahli PEKIRA mungkin akan mengadakan satu perhimpunan di hadapan pejabat ROS.

“Kita beri tempoh sehingga hujung bulan ini untuk mengetahui jawapannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette