Home Nasional Tender kerajaan hanya dibuka kepada syarikat sertai SL1M

Tender kerajaan hanya dibuka kepada syarikat sertai SL1M

Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Norashikin Ismail bercakap pada sidang media mengenai Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Selatan 2017 di Hotel Impiana, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Syarikat yang berminat untuk mendapatkan tender kerajaan diwajibkan menyertai program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) bermula 1 Ogos lalu.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat pekeliling pada 1 Ogos lalu.

“Semua syarikat yang telah menerima penganugerahan daripada kerajaan telah menerima surat tersebut.

“Tender yang dikelola Kementerian Kewangan bernilai RM60 billion. Dari pihak syarikat kita hanya minta satu peratus dari jumlah tersebut dalam lingkungan RM100 juta ke atas.

“Secara tak langsung kami menggalakkan pulangan kepada rakyat dan membantu lebih kurang 33,000 graduan,” ujar Norashikin dalam sidang media pengumuman temuduga terbuka SL1M peringkat Zon Selatan 2017.

Tambah Norashikin, syarat itu dikenakan bukan hanya kepada syarikat yang telah menerima penganugerahan malahan juga kepada semua syarikat yang berminat mendapatkan tender kerajaan pada masa akan datang.

Dalam sidang media yang sama Norashikin turut menegur pemohon program ini yang bersifat terlalu manja dan tidak mahu berdikari.

“Bila dah dapat kerja ada yang tak nak pergi sebab alasan rumah jauh dari tempat kerja.

“Masalah itu tinggi di kalangan graduasi. Malahan kami menawarkan sekiranya mereka datang dari keluarga yang tidak berkemampuan, tambang kami akan sediakan. Kita ada orang yang berminat untuk taja tiket supaya mereka boleh datang. Sebab kami mahu mereka keluar untuk mendapatkan pekerjaan,” ulas Norashikin.

Situasi ini, tambahnya, telah menyukarkan pihak syarikat kerana mereka telah bersedia untuk menerima pekerja baru, namun pekerja pula yang tidak datang.

Bagi program SL1M Zon Selatan, program ini akan diadakan selama dua hari bermula 26 hingga 27 Ogos di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Sebanyak 10,000 jawatan kosong ditawarkan daripada lebih 100 syarikat.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran artis popular seperti Faizal Tahir, Sonaone, Joe Flizzo, Syamel dan kumpulan Zero yang akan membuat persembahan selain sesi motivasi. – MalaysiaGazette