HULU KLANG – Selepas gagal dalam cubaan pertama akhirnya hari ini sebanyak 39 kedai di Kampung Pasir, Ukay Perdana yang menimbulkan kontroversi sebelum ini dirobohkan.
Operasi kali ini merupakan yang kedua dijalankan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak selepas gagal merobohkannya pada 1 Ogos lalu selepas dibantah sekumpulan pemilik kedai.
Sebanyak empat jentolak digunakan dalam operasi kali ini sambil dipantau oleh pihak polis dan kerja-kerja meroboh berjalan tanpa sebarang kekecohan seperti yang berlaku sebelum ini.
Semasa rundingan dengan salah seorang pemilik kedai, Mohd. Nazlee Tan Sri Sir Aziz Yeop, perintah mahkamah gagal dikemukakannya untuk menghalang operasi perobohan dan hanya mengatakan proses mahkamah akan berjalan pada 23 Ogos ini.
Mohd. Nazlee, yang juga Ketua UMNO Cawangan Batu 7, Hulu Kelang bersama peguamnya, Kamaruddin Ahmad tidak dapat menghalang operasi tersebut selepas tiada surat perintah mahkamah dan menyebabkan kedainya juga dirobohkan.
Terdahulu, beberapa minggu lepas, Mohd. Nazlee menegaskan, pihaknya akan berdepan dengan MPAJ dan kerajaan negeri yang cuba merobohkan lot dewan dan kedai tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Hasil Persekutuan, Md. Rashidi Ruslan yang ditemui berkata, operasi tersebut dijalankan selaras dengan undang-undang dan mendapat kebenaran daripada MPAJ dan agensi kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk memberi laluan kepada projek lebuh raya.
“Operasi hari ini adalah selaras dengan Seksyen 426A, Kanun Tanah Negara.
“Kerajaan telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri melalui Mesyuarat MTES dan telah bersetuju untuk menjalankan operasi untuk pengosongan kawasan ini dengan kadar segera,” katanya semasa ditemui media di tapak perobohan hari ini.
Rashidi juga memberitahu, saguhati RM8,000 akan diberikan daripada pihak konsesi Ahmad Zaki Resources Berhad kepada setiap pemilik struktur berdasarkan budi bicara dengan persetujuan mesyuarat MTES.
Jelasnya, operasi tersebut terpaksa diteruskan kerana projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) itu sudah lewat mengikut jadual selamat iaitu kira-kira 10 bulan berikutan kemelut dengan pemilik kedai.
“Projek EKVE perlu dilaksanakan segera kerana telah lewat jadual selama 10 bulan berikutan pendudukan secara tidak sah ini.
“Pelaksanaan projek ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberi manfaat kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya,” kata beliau lagi.
Dalam operasi 1 Ogos lalu, operasi merobohkan gerai terbabit ditangguhkan sehingga perbincangan antara Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib, Gabungan NGO-NGO 1Malaysia (GN1M) dan PTD Gombak diadakan semula.
Sebelum itu, PTD Gombak mengeluarkan notis arahan pengosongan gerai pada 20 Jun lalu.
Berdasarkan notis tersebut, peniaga premis di kawasan rizab jalan Jabatan Kerja Raya diber peluang untuk berniaga selama 26 tahun di atas tanah milik kerajaan bermula tahun 1991 hingga tahun 2017.
Menurutnya, sebuah dewan kecil dan hampir 37 lot kedai di tepi jalan masuk ke Ukay Perdana yang berusia lebih 20 tahun akan dirobohkan selepas PTD Gombal menghantar notis terakhir untuk mengosongkan kawasan tersebut sebelum 31 Julai. – MalaysiaGazette