SHAH ALAM, 16 Ogos (Bernama) –Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman lima hari ke atas seorang pengurus perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan enam kontraktor bagi membantu siasatan mengenai kes rasuah serta salah guna kuasa.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin mengeluarkan perintah itu bagi membolehkan kesemua suspek termasuk dua wanita, yang berumur antara 37 dan 57 tahun disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Menurut sumber SPRM, kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Shah Alam, antara 3 dan 6 petang semalam.
Pengurus itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada kontraktor sejak 2014 sehingga tahun ini.
“Perbuatan itu dilakukan dipercayai sebagai balasan mengurangkan pemotongan tuntutan bayaran ke atas kontrak kerja-kerja pembersihan yang dibuat oleh kontraktor-kontraktor terbabit,” kata sumber itu.
— BERNAMA