KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum memutuskan untuk membekukan aset-aset milik Tan Sri Mohd Isa Samad.
Mohd Isa kini ditahan reman lima hari bagi siasatan lanjut berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Kita belum tentukan sama ada mahu bekukan atau tidak, bergantung kepada keterangan yang diperoleh nanti,” katanya selepas menghadiri Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Menteri Besar serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan di sini hari ini.
Bekas Pengerusi Felda itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk direman selepas SPRM menahannya petang semalam.
SPRM turut menjalankan pemeriksaan di kediaman Mohd Isa di Selangor malam tadi.
Azam bagaimanapun enggan mendedahkan pemeriksaan yang dijalankan di kediaman Mohd Isa.
“Biar kami jalankan siasatan dulu,” katanya. – MalaysiaGazette