Home Politik PPBM guna Nothing To Hide serang UMNO

PPBM guna Nothing To Hide serang UMNO

Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dipercayai cuba menggunakan pentas politik Nothing To Hide 2.0 sebagai satu bentuk serangan baharu untuk memburukkan UMNO.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pemimpin pembangkang mengambil kesempatan untuk menuduh UMNO yang menimbulkan provokasi dalam program berkenaan.
“Program Nothing To Hide merupakan satu bentuk serangan baharu untuk memburukkan UMNO, kalau kita tengok mana-mana media, UMNO jadi mangsa dalam insiden ini.
“Yang jadi kambing hitam sekarang adalah UMNO. Datuk Seri Najib Razak pun tak hadir, banyak perkara Najib nak difikirkan. Ini mungkin provokasi yang sengaja dibuat untuk mengkambinghitamkan UMNO,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataannya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 13 Ogos lalu mendakwa Perdana Menteri bertanggungjawab di sebalik kekecohan yang timbul dalam program Nothing To Hide 2.0.
Azmin dalam kenyataan itu berkata, setelah takut berhujah, Najib menggunakan gangsterisme untuk menutup mulut Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia adalah tindakan pengecut.
Kata Azmin lagi, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan jenayah dan tindakan tidak bertamadun penyokongnya dalam program anjuran Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) PPBM.
Zulkarnain berkata, sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai pembangkang, pengerusi PPBM itu dilihat terikut-ikut cara provokasi yang sering diamalkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bila kamu sertai Anwar, kamu kena (ikut cara Anwar), kita tahu cara provokasi Anwar macam mana. Kenapa dia (ARMADA) buat provokasi depan PWTC, kalau dia tak nak buat provokasi tapi dia sempat jemput wartawan datang.
“Kenapa dia mengaku kena tumbuk walhal tiada, banyak saksi dalam kalangan wartawan. Kita boleh tampilkan saksi, tiada tumbuk tapi dia mengaku kena tumbuk,” tegasnya.
Katanya lagi, zaman Najib mengamalkan kebebasan bersuara dan ini boleh dilihat daripada siri perhimpunan jalanan anjuran pembangkang termasuk Bersih.
“Kita nak berpolitik dengan cara matang, ini bukan zaman Tun M, di mana pemikiran kita dikongkong. Ini zaman Najib, bebas bersuara, perhimpunan Bersih dengan Reformasi, berapa jauh bezanya itu.
“Tiada pula pendemo kena belantan, berapa banyak kes mahkamah yang dimenangi oleh pembangkang dan berapa banyak parti politik pembangkang berdaftar dalam tempoh sebulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Comments are closed.