PETALING JAYA – Rakyat diminta agar tidak terpengaruh dengan berita palsu mengenai ekonomi Malaysia yang didakwa kononnya menjunam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, laporan terbaru Bank Dunia menjawab dakwaan dan tohmahan terbabit apabila menunjukkan ekonomi Malaysia sedang berkembang pesat serta berada pada kedudukan kukuh dan kuat.
“Seperti diumumkan hari ini (semalam), kita berjaya mengatasi jangkaan dengan pertumbuhan 5.8 peratus (pada suku kedua 2017), berbanding 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) ke-63, di sini malam ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat tahun depan.
Katanya, beliau berharap organisasi seperti MBAM berada di barisan hadapan dalam industri pembinaan negara dan terus berkembang hingga mencapai industri kelas dunia.
Najib amat berbangga apabila sehingga Mac lalu, kontraktor Malaysia memperoleh projek bernilai RM18.5 bilion di India, RM16.6 bilion dalam kalangan negara ASEAN dan RM12.4 bilion di Arab Saudi.
“Ini bukti keupayaan dan pengalaman kontraktor Malaysia yang mampu memperoleh projek di peringkat antarabangsa. Ia turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Najib turut memuji MBAM atas inisiatif menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) yang penting dalam industri kerana meningkatkan produktiviti serta mengurangkan sisa binaan dan kadar kemalangan. – MalaysiaGazette