Home Politik Gerakan sokong Chang Yeow cabar Kit Siang di Pulau Pinang

Gerakan sokong Chang Yeow cabar Kit Siang di Pulau Pinang

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong bercakap ketika sidang media di Menara PGRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 19 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyokong Pengerusi Negeri Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya bertanding di salah satu kerusi parlimen negeri tersebut.

Sokongan itu dinyatakan oleh Pengerusi Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang menyifatkan Kit Siang sebagai seorang yang bongkak apabila mengatakan mereka hanya memerlukan hanya 10 peratus pengundi Melayu dan lima peratus pengundi bukan Melayu untuk melihat pembangkang merampas kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Beliau sangat bongkak, sebenarnya ramalan itu boleh berpatah balik (memihak kepada BN),” kata Siew Keong dalam sidang media hari ini.

Mengambilkira perkara itu, Siew Keong berkata, mereka menyokong tindakan Chang Yeow yang secara terbuka mencabar pemimpin veteran DAP itu untuk turun dimana-mana kerusi di Pulau Pinang dan melawannya.

“Chang Yeow cabar Kit Siang untuk lawan dengan beliau, kami sokong saudara Chang Yeow untuk mengambil cabaran melawan Kit Siang,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, walaupun sebelum ini Gerakan membuat keputusan untuk meletak baharu dalam PRU14 depan, tetapi dalam kes Kit Siang mereka mengecualikan keputusan itu untuk membolehkan Chang Yeow berdepan pemimpin DAP yang bongkak itu.

“Walaupun sebelum ini kami kata akan letak muka baharu, tapi dalam kes Kit Siang kami kecualikan dan akan sokong Chang Yeow,” ujarnya lagi.

Kit Siang sebelum ini mendakwa kononnya Pakatan akan menguasai Putrajaya, selain akan turut mengalahkan BN di Pulau Pinang (37-3), Selangor (50-6), Perak (39-20), Johor (36-20) dan Negeri Sembilan (19-17), dalam PRU-14 nanti.

Beliau berkata, hanya memerlukan 10 peratus pengundi Melayu dan 5 peratus pengundi bukan Melayu untuk memastikan kerajaan bertukar dari BN ke Pakatan. – MalaysiaGazette