SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan supaya ahli kumpulan rock Search membayar ganti rugi RM494,079.71 kepada bekas penganjur Konsert Search 35 Tahun, Afjets Sdn. Bhd. atas dakwaan melanggar perjanjian persefahaman ekoran pembatalan konsert mereka dan memfitnah syarikat itu, tahun lalu.
Afjets memperoleh perintah itu melalui perintah penghakiman ingkar yang direkodkan oleh Hakim M. Gunalan semalam selepas membenarkan permohonan syarikat itu dalam saman yang difailkan pada 14 Oktober 2016 terhadap ahli kumpulan itu. Mereka ialah pemain gitar, Noordin Mohd. Taib, 55, pemain gitar utama, Hamzah Mohd. Taib (Kid), 50, dan pemain gitar bass, Nasir Daud, 58, dan vokalis kumpulan Itu, Amy Search atau Suhaimi Abd. Rahman, 59.
Namun begitu, peguam Adnan Seman @ Abdullah yang mewakili Afjets selaku pihak plaintif memberitahu pemberita, pihaknya masih meneruskan saman terhadap Amy namun perintah penghakiman ingkar terhadapnya belum direkodkan.
Selain perintah ganti rugi khas tersebut, mahkamah membenarkan perintah injunksi terhadap ketiga-tiganya melalui dirinya, pekerja-pekerjanya atau ejen-ejennya daripada mengeluarkan dan menerbitkan sama ada secara maya, lisan atau bercetak sebarang kenyataan yang memburuk-burukkan serta memfitnah Afjets selaku pihak plaintif. – MalaysiaGazette