KUALA LUMPUR – Selepas jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang mempopularkan nama Dungun, Terengganu, kini muncul seorang atlet pelapis negara yang lahir dari daerah itu.
Nama Nik Fariezal Erman Nik Abd Hadi mungkin tidak popular seperti pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail, jauh sekali menjadi prospek pingat emas acara lompat kijang.
Namun anak muda berusia 21 tahun itu mampu menjadi sumber inspirasi kepada remaja lain apabila berdepan seribu kepahitan untuk layak ke Sukan SEA ke-29 (KL2017).
Ini kerana selepas menamatkan pembelajaran Pra-universiti Sekolah Sukan Bukit Jalil akhir tahun lalu, Nik Fariezal mengambil insiatif memulakan latihan persendirian dengan visi merebut tempat ke sukan berprestij di Asia Tenggara ini.
Tanpa mendapat sebarang elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal dan suplemen, dia menggunakan wang saku sendiri dan menumpang di rumah orang.
Berdepan kesulitan berulang-alik ke tempat latihan menaiki motosikal yang sering mengalami kerosakan, anak ketiga daripada enam beradik itu turut menghadapi masalah kewangan untuk menampung kehidupan seharian.
Biar sesibuk mana menjalani latihan dua kali sehari, Nik Fariezal terpaksa melakukan kerja sambilan untuk mencari wang. Antara kerja yang pernah dilakukannya adalah menjaga parkir dan pengawal keselamatan.
Malah lebih menyedihkan, dia menyertai Terbuka Thailand pada Ramadan lalu sebagai pemilihan terakhir ke KL2017 hanya berbekal wang saku berbelas ringgit sahaja.
Namun dia mempamerkan aksi cemerlang dengan catatan sejauh 15.29 meter di kejohanan itu sekali gus meletakkan dirinya kini berada di kedudukan kedua di Malaysia pada tahun ini dan layak ke KL2017.
Untuk rekod, anak jati Dungun ini merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Sekolah Asia dan pingat emas Kejohanan Sekolah ASEAN tahun 2014, pingat Perak Kejohanan Terbuka Malaysia (2015), finalis Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Doha, Qatar (2016) dan pingat emas acara lompat kijang dan pingat perak acara lompat jauh di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun lalu.
Melihat kepada pencapaian anak muda ini, dia sewajarnya mendapat elaun dan bantuan namun Nik Fariezal percaya dengan hikmah di kemudian hari.
Ditemui portal MalaysiaGazette, dia melahirkan rasa syukur kerana pahit getir yang diharungi dari awal tahun telah berbaloi.
“Saya bersyukur kerana akhirnya bergelar kontijen Malaysia di KL2017. Masuk berarak dan beraksi di Sukan SEA apatah lagi di negara sendiri di hadapan puluhan ribu penonton, adalah impian semua atlet.
“Saya percaya kejayaan tidak mudah dicapai tanpa melalui kesusahan. Semua pengalaman yang saya lalui, akan mematangkan hidup saya sebagai ahli sukan di kemudian hari,” katanya yang akan bergelar mahasiswa Universiti Putra Malaysia pada 6 September depan.
Jelas Nik Fariezal lagi, pada KL2017 ini, dia hanya mahu menumpukan fokus untuk memperbaiki catatan terbaiknya sejauh 15.53 meter dan tidak mahu membebankan diri dengan sasaran pingat.
Walaupun tetap tersirat di hati memenangi pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini, dia yakin idolanya, Muhammad Hakimi mampu mempertahan pingat emas di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.
“Jika rezeki saya menang pingat, sudah pasti hendak dedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapa, keluarga, jurulatih, kawan-kawan dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberi sokongan berterusan kepada atlet negara,” katanya yang akan beraksi pada malam 23 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, kegigihan Nik Fariezal berjaya melayakkan diri ke KL2017 telah menarik perhatian pemaju rumah mampu milik, DBI Technology Ssn Bhd. untuk tampil menajanya
Melalui penajaan itu, atlet lompat kijang, Nik Fariezal menerima tajaan berbentuk wang tunai serta produk sukan.
Tajaan yang diberikan kepada atlet kebangsaan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dalam membantu bidang sukan terutama atlet pelapis di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, DBI Technology, Datuk Nourul Iman berkata, pihaknya berasa sangat berbesar hati dan bangga kerana dapat menaja Nik Fariezal yang merupakan sumper inspirasi rakyat Malaysia apabila akhirnya impian dirinya bertanding pada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara ini tercapai. – MalaysiaGazette