PULAU PINANG – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan parti itu di negeri ini sebagai unik dan berbeza dengan UMNO di negeri lain.
Menurut beliau, UMNO Pulau Pinang berada dalam situasi komposisi orang Melayu dan umat Islam yang hampir seimbang dengan kaum serta agama lain khususnya masyarakat Cina.
Sehubungan itu, ujar beliau, UMNO negeri ini tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya memperjuangkan orang Melayu dan umat Islam semata-mata sebaliknya perlu turut tampil sebagai pembela kebajikan masyarakat pelbagai kaum.
“Ini bukan bermaksud supaya UMNO mengetepikan hakiki perjuangan membela orang Melayu dan Islam, tetapi untuk memperlihatkan pemimpin dan parti kita adalah juara dalam membela nasib semua kaum di negeri ini.
“Malah ini juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan UMNO sendiri yang mana pemimpinnya juga bertanggungjawab menjaga kebajikan kaum dan agama lain,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar.
Menjelaskan lanjut, Abdul Rahman berkata, dalam usaha memperlihatkan UMNO parti yang boleh berjuang untuk semua kaum, ahli-ahlinya perlu mempergiat program mendekati masyarakat bukan Melayu dan Islam khususnya komuniti Cina di negeri ini.
Ujar beliau, pemimpin UMNO Pulau Pinang juga perlu mengambil peluang menjalankan kerjasama dengan pemimpin masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar.
“Ini adalah antara kelompok yang turut terjejas dengan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang serta berdepan pelbagai isu yang dibawa kerajaan negeri antaranya kos sara hidup dan integriti dalam pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette