Home Nasional Lelaki hina TMJ ditahan di Maran

Lelaki hina TMJ ditahan di Maran

Mohd. Khalil Kader Mohd.

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga air yang dipercayai memuatnaik kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor dan Institusi Diraja Johor di laman Facebook ditahan di Maran, Pahang pada 1.30 petang tadi.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, Pahang ekoran satu laporan diterima polis Johor berhubung perkara tersebut pada 17 Ogos lalu pada 9 malam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, susulan laporan diterima, satu kertas siasatan dibuka bagi tindakan lanjut serta mengesan individu yang dipercayai memuatnaik kenyataan tersebut.

“Hasil tindakan polis IPD Maran, Pahang, seorang peniaga air berusia 30 tahun yang dipercayai bertanggungjawab memuatnaik kenyataan tersebut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna media sosial untuk lebih berhemah semasa menggunakan kemudahan tersebut dan mereka yang menyalahgunakannya akan didakwa mengikut undang-undang.

“Polis Johor tidak teragak-agak dan akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa pun yang didapati menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati, menjelikkan, mengugut serta mengganggu sensitiviti orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette.