KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang bagi fasa satu dan dua mencatatkan sehingga 7.4 juta penumpang, sejak mula beroperasi pada 16 Dis tahun lepas hingga kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman berkata, sepanjang tempoh itu, dianggarkan 100,000 penumpang menggunakan MRT pada hari bekerja dan meningkat kepada kira-kira 140,000 pada hujung minggu serta dijangka terus meningkat sepanjang temasya Sukan SEA 2017 hingga 30 Ogos ini.
“Sejak ia (MRT) beroperasi stesen yang paling banyak menerima penumpang adalah Bukit Bintang yang menghubungkan orang ramai ke kawasan segi tiga Emas Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Santai Bersama Anak-Anak Istimewa Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama (SMKKU).
Selain itu, katanya, Rapid Rail selaku pengendali operasi Transit Aliran Ringan (LRT) dan MRT akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan persatuan orang kurang upaya (OKU) dan agensi terlibat dalam usaha menambah baik kemudahan sedia ada kepada golongan itu.
“MRT sememangnya mesra OKU dan kami sentiasa mengambil inisiatif memperbaiki fasiliti sedia ada buat golongan itu bagi memberi keselesaan kepada mereka,” katanya.
Mengulas mengenai program tanggungjawab sosial korporat itu, Zohari berkata ia bagi mendedahkan pelajar istimewa itu terhadap kemudahan pengangkutan awam.
“Saya berharap mereka akan gunakan perkhidmatan ini apabila mereka sudah bekerja kelak,” katanya.
Program itu melibatkan kira-kira 120 pelajar istimewa SMKKU yang diberi peluang menaiki MRT dari Stesen Kajang ke Stesen Merdeka selain dibawa melawat ke Muzium Negara dan menjamu selera di restoran Sate Haji Samuri di Kajang. – MalaysiaGazette