Home Nasional Murad hadir beri keterangan prosiding RCI mata wang asing

Murad hadir beri keterangan prosiding RCI mata wang asing

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid tiba di Mahkamah Rayuan, untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid hadir ke Mahkamah Rayuan, Kompleks Istana Kehakiman, di sini, hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes kerugian BNM akibat kegiatan perdagangan wang asing sekitar tahun 1990-an.

Beliau dilihat memasuki Bilik Bicara 6 Mahkamah Rayuan pada jam 9.30 pagi untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Lima lagi ahli panel RCI yang akan mendengar prosiding daripada Abdul Murad ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail.

Abdul Murad yang kelihatan ceria dan melemparkan senyuman kepada sekumpulan wartawan di luar pekarangan Mahkamah Rayuan turut memberi kerjasama kepada jurugambar merakam gambarnya.

Pada 15 Februari lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diketuai Mohd Sidek untuk menyiasat dakwaan skandal kewangan terbesar membabitkan kerugian berbilion ringgit dialami BNM dalam perdagangan mata wang asing pada 1990-an dan mengemukakan syornya.

Pada 21 Jun lalu, laporan akhir PPK mendedahkan wujud kes prima facie dalam kerugian urus niaga mata wang asing (forex) BNM.

Pasukan itu juga mendapati jumlah kerugian urus niaga berkenaan jauh lebih besar daripada angka dimaklumkan kepada Parlimen dan Jemaah Menteri lebih 20 tahun lalu. – MalaysiaGazette