KUALA LUMPUR- Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja(RCI) berkenaan peristiwa berdarah di Kampung Memali, Baling, Kedah.
Menurutunya, tindakan yang diambil oleh kerajaan dibawah pimpinan Tun Dr. Mahathir ketika itu tidak bertepatan dengan keadaan serta tindkan penduduk kampung yang tidak mempunyai senjata api.
“Saya menyokong penuh supaya diadakan RCI ini kerana sehingga hari ini ia(Memali) tidak mempunyai kepastian dan sebenarnya ia melibatkan satu peristiwa(berdarah).
“Ketika ia berlaku dahulu, saya juga terasa sebagai orang muda ketika itu, tindakan pihak keselamatan adalah tidak seimbang dengan apa yang berlaku di Memali itu.
“Ia kerana semua mereka terdiri daripada orang kampung yg tiada senjata moden. Mereka bukan merupakan pengganas, jadi sepatutnya tindakan terhadap mereka itu sepatutnya menggunakan pendekatan seperti (meleraikan) demonstrasi,”
Tambah Nazri, semua pihak terpaksa akur dengan tindakan tersebut kerana Tun Mahathir merupakan pemimpin tertinggi dalam kerajaan ketika peristiwa berdarah itu berlaku.
“Tapi apabila tindakan itu dibuat sihingga menyebabkan kematian, ia keterlaluan. Tapi Perdana menteri ketika itu Tun Mahathir yang mengatakan perkara itu terpaksa dilakukan, kita pun terimalah.”
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali.
Insiden tersebut mengorbankan 18 orang penduduk kampung Memali, Baling Kedah pada tahun 1985.
Susulan kenyataan tersebut, PAS turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi membela nasib mangsa Memali dan mahu membawa waris mangsa bertemu Zahid. – MalaysiaGazette