KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menjadi orang paling lantang memperjuangkan isu Memali dan menuntut pembelaan, kini beliau segan untuk meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf kepada mangsa yang terlibat dalam tragedi berdarah itu.
Desakan terhadap Dr Mahathir supaya meminta maaf kerana bertanggungjawab dalam insiden pada 1981 semakin kuat selepas isu itu mula mendapat perhatian semula orang ramai.
Mohamad semasa ditanya wartawan adakah akan menyuruh Dr Mahathir meminta maaf hanya berkata, beliau membiarkan Mahathir untuk membuat keputusan sendiri kerana beliau sendiri tidak dapat memberikan jawapan untuk pihak Mahathir.
“Terserah kepada dia. Dia orang yang bijak,” katanya.
Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.
Dr Mahathir, perdana menteri semasa peristiwa Memali, kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan.
Abdul Hadi pula, selepas membawa Pas memutuskan kerjasama dengan parti-parti pembangkang, kini dilihat senada dengan UMNO dalam banyak perkara menuju Pilihan Raya Umum ke-14.- MalaysiaGazette