Home Sukan KL2017: Gimnas negara terus mengganas, bolot 3 emas

KL2017: Gimnas negara terus mengganas, bolot 3 emas

Jeremiah Loo Phay Xing

KUALA LUMPUR – Pasukan gimnas terus menceriakan Dewan 10 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarbangsa Malaysia (Mitec) apabila menyumbang tiga pingat emas untuk negara.

Emas pertama hari ini hadir selepas Tan Ing Yueh memperoleh mata tertinggi 13.404 mata menerusi acara melombol.

Tan Fu Jie dan Jeremiah Loo Phay Xing terus menggamatkan dewan apabila kedua-duanya meraih emas dalam acara kekuda pelana.

Tiada pingat perak dalam acara kekuda pelana kerana Fu Jie dan Jeremiah masing-masing berkongsi mata sekali gus membolehkan mereka merangkul pingat emas.

Sementara itu, Tracie Ang meraih pingat perak dan gangsa masing-masing dalam acara palang bertingkat dan melombol.
Namun malang menimpa ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi kerana gagal mempertahankan pingat gangsa dalam acara palang yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu tidak kesampaian.

Farah pada awalnya bermula cemerlang sebelum terjatuh sehingga menjejaskan mata yang dikumpul.

Malam tadi, gimnas wanita negara meraih emas dalam acara berpasukan menerusi Nur Eli Ellina Azmi, Lavinia Michelle Raymund Jayadev, Tan Ing Yueh, Tracie Ang, Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Azira Aziri mengulangi kejayaan Malaysia di Sukan SEA Singapura 2015. – MalaysiaGazette