Home Sukan KL2017: Najib harap kehadirannya beri ‘sentuhan’ emas

KL2017: Najib harap kehadirannya beri ‘sentuhan’ emas

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap agar Malaysia terus merangkul lebih banyak pingat emas dalam Sukan SEA ke 29 (KL2017).

Ujarnya, beliau sendiri mengambil kesempatan untuk hadir dalam dua acara yang dipertandingkan bagi menaikkan semangat atlet-atlet negara ‘bertarung’ bagi merebut pingat terbabit.

“Datuk Shuhaimi Othman (Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung Malaysia) kata saya ada ‘sentuhan’ emas, secara kebetulan semalam venue-venue yang saya pergi semua menang. (Malaysia menang).

“Malam ini saya nak pergi ke venue bukit Jalil untuk pelari hebat kita sedara Khairul Hafiz Jantan (atau dikenali The Speedy) dalam perlumbaan 100 meter peringkat akhir. Mudah-mudahan dapat pingat emas,” katanya selepas merasmikan Himpunan JKKK/JKKKP dan JKKKP Orang Asli serta Anugerah Desa Perdana 2017 di Dewan Tun Razak, Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Malaysia kini memungut 24 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa.

Dalam pada itu, Najib turut menunjukkan kebolehan mengulas mengenai prestasi perlawanan bola sepak antara Malaysia menentang Myanmar yang berlangsung semalam.

Perlawanan dalam acara KL2017 itu bagi Najib perlu mengamalkan nilai berpasukan dan jika ada pihak yang tidak ada nilai itu, pastinya pasukan bola sepak negara akan kalah.

“Bila kita main sebagai satu pasukan, penuh dengan persefahaman dan setiap setiap tahu peranannya, jadi kita boleh jaringkan gol.

“Tapi bila Myanmar jaringkan bola, sebab ada seorang pemain kita buat silap.

“Dia buat back pass dan bola itu jatuh kepada musuh. Maknanya kalau ada orang yang sabotaj lama kita akan gagal,” katanya.

Najib yang menyaksikan perlawanan itu semalam berbangga dengan kejayaan skuad bawah 22 (B-22) negara menewaskan Myanmar 3-1 dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam.

“Kita beroleh kemenangan yang ketiga! Hebat skuad bola sepak kita ! #BangkitBersama #Kebanggaanku #KL2017,” katanya menerusi status di Twitter semalam.

Dua jaringan pantas yang dicipta Malaysia sudah cukup untuk memastikan tiga mata menjadi milik negara apabila menundukkan Myanmar 3-1.

Gol pasukan Malaysia dijaringkan oleh N. Thanabalan (min. 33, min. 82) dan Muhammad Safawi Rasid (min. 35), manakala gol saguhati Myanmar dijaringkan oleh Than Paing pada minit-minit akhir perlawanan. -MalaysiaGazette.